• Romania Larang Sarkas Guna Haiwan Liar

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+


    BUCHAREST – Parlimen Romania meluluskan rang undang-undang melarang semua sarkas di negara itu menggunakan haiwan liar seperti singa dan beruang dalam semua pertunjukan.

    Rang undang-undang yang mendapat sokongan kumpulan hak asasi haiwan itu turut melarang penggunaan mana-mana binatang, termasuk yang dilahirkan dalam kurungan atau ditangkap di habitat asal mereka.

    Unang-undang itu menetapkan, tiada haiwan sama ada yang dilahirkan dalam kurungan atau yang ditangkap di hutan, tidak kira sejinak mana pun haiwan itu, dibenarkan dalam mana-mana pertunjukan awam.

    Semua sarkas diberi tempoh selama 18 bulan untuk mematuhi undang-undang baharu itu dan memindahkan semua haiwan terbabit ke zoo atau kawasan hutan simpan.

    “Tidak ada harimau, singa, beruang atau gajah akan menanggung penderitaan di Romania bagi menghiburkan orang ramai.

    “Masyarakat kita kini sudah berubah,” kata Pengarah WWF Romania, Magor Csibi, dalam satu kenyataan. Presiden Klaus Iohannis perlu menandatangani rang undang-undang itu sebelum ia boleh diwartakan.

    Pemilik sarkas bakal berdepan pertuduhan jenayah dan hukuman penjara satu tahun, jika mereka gagal mematuhi peraturan baharu itu. Namun, sarkas masih dibenar menggunakan haiwan seperti ikan lumba-lumba dan burung eksotik dalam keadaan tertentu.

    Parlimen meluluskan rang undang-undang itu susulan kematian 11 haiwan, termasuk dua ekor harimau dalam satu kebakaran, Januari lalu di sebuah bangunan milik Globus Circus, di sini , KJanuati lalu.

    Berikutan itu, satu kempen dilancarkan bagi melarang haiwan terlatih digunakan oleh pihak sarkas dan ia berjaya mengumpul 60,000 tandatangan, sekali gus memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

    Enam negara Kesatuan Eropah sudah menguatkuasakan larangan itu, sementara 15 lagi negara mengenakan separa sekatan terhadap sarkas. – AFP/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Romania Larang Sarkas Guna Haiwan Liar "