• Ribuan Penduduk Si London Diarah Pindah

    Published: Sunday, 25 June 2017
    A- A+

    London: Ribuan penduduk di utara London dipaksa meninggalkan apartmen masing-masing awal semalam selepas pemeriksaan keselamatan yang dijalankan berikutan kebakaran bangunan kediaman Grenfell Tower mendapati apartmen mereka juga tidak selamat.

    Dalam suasana kelam-kabut, penduduk sambil mendukung anak, haiwan peliharaan, sejumlah pakaian dan makanan turun dari kediaman mereka untuk tidur di sebuah pusat sukan tempatan selepas mendengar berita mereka terpaksa dipindahkan.

    Pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap kira-kira 600 bangunan tinggi di seluruh England selepas kebakaran memusnahkan Grenfell Tower di barat London, menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh.

    “Saya sedar ia sukar tetapi Grenfell mengubah semuanya. Saya percaya kita tidak boleh membiarkan keselamatan penduduk terancam,” kata ketua Majlis Camden, Georgia Gould.

    Polis yang menyiasat punca kebakaran Grenfell Tower berkata, ia bermula dari peti sejuk tetapi merebak cepat kerana penggunaan penyalut keluli di luar bangunan itu.

    Semua pemeriksaan yang dilakukan pada penyalut itu sejak kebakaran berkenaan mendapati ia gagal dari segi keselamatan.

    Gould berkata, kira-kira empat minggu mungkin diperlukan untuk membaiki blok yang sudah dikosongkan oleh penduduk.

    Menurutnya, 4,000 penduduk terjejas. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Ribuan Penduduk Si London Diarah Pindah "