• Rempuhan Kereta Di Newcastle: Tiada Rakyat Malaysia Terbabit

    Published: Monday, 26 June 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam insiden sebuah kereta merempuh jemaah yang sedang keluar selepas menunaikan solat sunat Aidilfitfri di luar sebuah pusat sukan di Westgate Road di Newcastle, utara England, semalam.

    Dalam kejadian tersebut, kereta seorang pemandu wanita berusia 42 tahun itu dilaporkan terbabas ke laluan pejalan kaki sebelum merempuh sekumpulan keluarga jemaah yang keluar dari Masjid Sentral Newcastle, menyebabkan enam orang termasuk tiga kanak-kanak cedera.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, meminta warganegara Malaysia yang menetap di sekitar kawasan itu supaya sentiasa berjaga-jaga dan patuh dengan arahan pihak berkuasa tempatan.

    Buat masa ini, katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan dan sedang memberi maklumat terkini dan segera kepada komuniti Malaysia di sekitar bandar itu.

    Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan simpati mendalam kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu, katanya.

    Mereka yang berada dalam kecemasan boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di 52 Bedford Row, London WC1R 4LR atau menghubungi +44 (0) 207 242 4308 atau e-mel mwlondon.kln@1govuc.gov.my

    Dilaporkan pemandu wanita itu ditahan selepas insiden itu.

    Wanita tersebut dilaporkan turut menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan sebelum mahu pulang dengan memandu kereta tetapi sebaik menaiki kereta, pemandu itu terus menekan pedal minyak dan bukan brek sehingga keretanya terbabas ke laluan pejalan kaki dan merempuh mangsa. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rempuhan Kereta Di Newcastle: Tiada Rakyat Malaysia Terbabit "