• Rampas 140kg Hasil Laut Ditangkap Guna Bom Ikan

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 140 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan, selain merampas bahan membuat bom ikan serta peralatan menyelam di perairan Pulau Gaya, petang semalam.

    Rampasan dilakukan sepasukan anggota APMM Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) ketika rondaan Operasi Sejahtera selepas bertembung dengan dua bot pam dinaiki empat lelaki di perairan terbabit, kira-kira jam 6.35 petang.

    Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata bot ronda APMM mengesan dua bot pam mencurigakan itu sebelum cuba menghampiri serta memintas, namun bot berkenaan memecut dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai yang berbatu di Pulau Gaya.

    "Pada masa sama, kita melihat awak-awak bot terdiri daripada empat lelaki membuang objek seperti botol sebelum meloloskan diri dengan terjun ke laut serta meninggalkan bot pam mereka di kawasan berbatu.

    "Bot terbabit kemudian ditarik keluar oleh anggota APMM sebelum dirampas. Pemeriksaan lanjut menjumpai bahan letupan dan peralatan menyelam serta ikan pelbagai jenis dianggarkan seberat 140kg," katanya di sini, sebentar tadi.

    Adam berkata, pihaknya mengesyaki empat lelaki menaiki dua bot pam berkenaan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah dilarang. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rampas 140kg Hasil Laut Ditangkap Guna Bom Ikan "