• Rakyat Malaysia Puasa 18 Jam Di Poland

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+


    WARSAW: Berpuasa di Eropah amat menguji keimanan mereka yang menjalani ibadah ini memandangkan ia jatuh pada musim panas.

    Berbanding musim sejuk yang masanya pendek, bulan Ramadan tahun ini berbetulan dengan solstis (21 Jun), hari yang paling panjang di utara hemisfera.

    Ini menyebabkan orang Islam yang berada di negara yang terletak di garis lintang utara seperti Poland menghadapi hari berpuasa yang panjang, dari terbit matahari hingga terbenam matahari berbanding Malaysia.

    Dalam bulan Ramadan, umat Islam di Poland serta rantau lain Eropah dijangka berpuasa lebih 18 jam dari kira-kira pukul 2.00 pagi sehingga 9.00 malam, sama seperti di London atau Paris.

    Ini berbanding hanya 13 jam di Kuala Lumpur.

    Waktu berpuasa yang panjang inilah yang perlu dilalui oleh kira-kira 250 rakyat Malaysia yang berada di Poland memandangkan bulan Ramadan jatuh semasa musim panas.

    Poland mempunyai sekitar 35,000 rakyat beragama Islam.

    "Waktu berpuasa yang panjang banyak ujiannya bagi saya," kata Nur Syaza Fahari, pelajar perubatan tahun lima di Warsaw Medical University.

    Seorang lagi pelajar perubatan, Anas Alwi berkata: "Sebagai pelajar sukar untuk memasak, belajar dan menyiapkan semua kerja dalam keadaan berpuasa sehingga pukul 9.00 malam."

    Kebanyakan rakyat Malaysia di Poland adalah pelajar yang mengikuti pengajian di bandar-bandar utama Warsaw, Krakow , Poznan dan Lublin.

    Penulis berada di bandar ini untuk majlis berbuka puasa atau iftar yang diadakan oleh Kedutaan Malaysia di sini.

    Kedutaan Malaysia di Warsaw menganjurkan beberapa program iftar di dua buah masjid iaitu di Wilanow dan Blue City di samping mengadakan iftar untuk masyarakat Malaysia serta tetamu lain yang beragama Islam di Rumah Malaysia.

    Sementara itu, Duta Malaysia ke Poland, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis berkenaan dianjurkan secara bersama dengan pengurusan kedua-dua masjid.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penaja dari Malaysia dan tempat lain termasuk Pejabat Gabenor Sarawak dan Yayasan Al Ghuair.

    Program iftar di kedua-dua masjid di sini disertai lebih 300 orang.

    Majlis iftar di Rumah Malaysia diikuti dengan majlis taklimat oleh Ahmad Fadil mengenai isu-isu semasa yang berlaku di tanah air.

    Setakat ini terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Poland, kebanyakannya mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, perniagaan dan teknologi maklumat.

    Malaysia dan Poland menjalin hubungan diplomatik pada 1971.

    Artikel ditulis oleh Mohd Zarith Md Hanipah yang merupakan seorang Pewarta Bernama di London. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Puasa 18 Jam Di Poland "