• Rakyat Britain Belanja RM3.55 Biayai Kos Keluarga Diraja

    Published: Tuesday, 27 June 2017
    A- A+

    LONDON: Setiap rakyat Britain membelanjakan sebanyak 65 pence (RM3.55) bagi membiayai keluarga diraja, sepanjang tahun lalu.

    Bendahari Ratu Elizabeth, Alan Reid, berkata jumlah itu kecil berbanding apa yang dilakukan Ratu Elizabeth dan keluarga diraja Britain untuk rakyat dan negara itu.

    "Keluarga diraja menjalankan lebih 3,000 tugas rasmi sepanjang tahun lalu. Ratu Elizabeth, yang berusia 91 tahun menghadiri 162 majlis rasmi, manakala suaminya, Putera Philip, 96, melakukan 196 tugas rasmi," kata Reid kepada wartawan.

    Ratu Elizabeth dan keluarga diraja Britain menerima AS$54.5 juta (RM234 juta) bagi membiayai kos perbelanjaan isi rumah dan perjalanan, sepanjang tahun lalu hingga tahun ini.

    Jumlah itu dijangka meningkat kepada AS$96.83 juta (RM415.35 juta) selepas kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan bagi membiayai kos pengubahsuaian Istana Buckingham sebanyak AS$469.52 juta (RM2.014 bilion) bagi tempoh 10 tahun.

    Proses pengubahsuaian itu bertujuan menggantikan sistem pendawaian elektrik, paip air dan sistem pemanas yang usang serta perlu segera diperbaiki.

    Bulan lalu, Putera Philip mengumumkan persaraannya daripada melakukan tugas rasmi menjelang akhir tahun ini, selepas menerima rawatan akibat jangkitan kuman.

    Sementara itu, hasil tinjauan pendapat menunjukkan Ratu Elizabeth kekal popular dalam kalangan rakyat Britain dan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada mereka mahu sistem monarki dikekalkan.

    Bagaimanapun, golongan antimonarki mendakwa kos sebenar yang terpaksa ditanggung pembayar cukai bagi membiayai keluarga diraja adalah lebih tinggi kerana jumlah itu tidak termasuk kos perbelanjaan keselamatan. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Britain Belanja RM3.55 Biayai Kos Keluarga Diraja "