• Rafiq Tekad Terus Rentak Cemerlang

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    Kuala Lumpur: Selepas menjuarai Terbuka Singapura hujung minggu lalu, bintang bowling remaja kebangsaan Rafiq Ismail bertekad meneruskan rentak positif pada Terbuka Macau yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

    Malah tidak mustahil anak muda berusia 20 tahun itu menghadiahkan satu lagi kejuaraan sebagai hadiah Aidilfitri kerana kejohanan terbabit berakhir sehari sebelum lebaran.

    Bagi Rafiq sendiri, kejayaan menjuarai Terbuka Singapura itu sesuatu yang bermakna selepas mengungguli Kejuaraaan Asia di Hong Kong, September tahun lalu.

    “Sudah agak lama saya tidak menjuarai sebarang kejohanan dan tentu sekali kemenangan ini sesuatu yang membangkitkan semangat menjelang Sukan SEA.

    “Saya mensasarkan tiga tangga teratas dalam kejohanan ini dan kemenangan ini begitu membanggakan, apatah lagi ini dua kejohanan terakhir (termasuk Terbuka Macau) sebelum pemilihan skuad Sukan SEA,” katanya.

    Rafiq mencetus sensasi pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu apabila meraih tiga emas dan satu perak pada penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan itu.

    Menjelang kejohanan di Macau, Rafiq mengakui skuad yang turut menyertai kejohanan di Singapura itu mempunyai hanya empat hari untuk persediaan kejohanan terbabit, justeru mereka perlu fokus terhadap latihan.

    “Sepanjang tempoh itu tumpuan akan diberikan sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lane di sana,” katanya.

    “Meskipun pernah beraksi di pusat bowling yang sama untuk Kejohanan Remaja Asia 2015 tapi saya perlu lebih bersedia untuk kejohanan kali ini.

    “Siapa tahu saya dapat membawa pulang hadiah sempena Aidilfitri ini.” - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Rafiq Tekad Terus Rentak Cemerlang "