• Pyongyang Bebas Pelajar AS

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    WASHINGTON: Seorang pelajar universiti Amerika Syarikat (AS), Otto Warmbier, yang ditahan di Korea Utara selama 17 bulan, dibebaskan, namun beliau kini koma dan terdesak memerlukan rawatan perubatan.

    Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu kenyataan berkata, Warmbier, 22, pelajar Universiti Virginia dari pinggir Cincinnati, dalam perjalanan pulang ke AS.

    "Otto berada dalam koma selama lebih setahun dan kini amat memerlukan rawatan perubatan lebih baik di AS," kata Bill Richardson, seorang bekas diplomat veteran dan ahli politik yang memainkan peranan dalam rundingan lalu bersama Korea Utara, selepas bercakap dengan ibu bapa Warmbier.

    Akhbar Washington Post melaporkan, keluarga itu dimaklumkan pihak berkuasa Pyongyang, menerusi hubungan dengan wakil AS, Warmbier jatuh sakit akibat botulisme, pada satu ketika selepas dibicarakan Mac 2016 dan koma apabila mengambil pil tidur.

    "Korea Utara perlu menjelaskan punca yang menyebabkan beliau koma," kata Richardson yang mana menerusi Pusat Hubungan Global menuntut pembebasan langsung Warmbier dengan kerajaan Korea Utara.

    Warmbier ditahan pada Januari 2016 dan dijatuhi hukuman kerja keras 15 tahun Mac tahun lalu kerana cuba mencuri barangan dengan slogan propaganda, menurut media Korea Utara. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Pyongyang Bebas Pelajar AS "