• #PRKPujut: Keputusan saman Dr Ting diketahui esok

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+
    KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok (Sabtu) untuk memutuskan kes saman pemula oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon.

    Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun menetapkan tarikh itu selepas dua pihak plaintif dan defendan selesai membentangkan hujah masing-masing.

    Ekoran tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Pujut ditetapkan pada 20 Jun, keputusan kes itu wajar dipercepatkan, kata hakim.

    Dr Ting daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 7 Jun lalu memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuching bagi perisytiharan sebagai batal dan tidak sah, usul Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei yang membatalkan kelayakannya sebagai ADUN.

    Dr Ting menamakan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai defendan pertama, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Dato Sri Dr Wong Soon Koh sebagai defendan kedua, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kerajaan Sarawak, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.- Utusan Borneo
  • No Comment to " #PRKPujut: Keputusan saman Dr Ting diketahui esok "