• Polis Beri Kerjasama Kesan Banduan Rakyat Malaysia Larikan Diri Dari Penjara Bali

    Published: Wednesday, 21 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia memberi kerjasama bagi mengesan seorang banduan rakyat Malaysia yang dipercayai melarikan diri pada Isnin lalu dengan membuat terowong bawah tanah di sebuah sel di Penjara Kerobokan, Bali, Indonesia.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan memantau beberapa kawasan yang disyaki boleh menjadi tempat perlindungan sekiranya suspek cuba memasuki negara.

    "Kita akan bekerjasama dengan pihak Indonesia untuk mengesan banduan terbabit jika betul suspek memasuki negara ini.

    "Kita pantau semua tempat yang disyaki boleh menjadi tempat perlindungan suspek," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan bersama Celcom Axiata bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Terdahulu Bernama melaporkan polis Bali meneruskan usaha memburu empat banduan warga asing termasuk seorang rakyat Malaysia yang dipercayai melarikan diri dengan membuat terowong bawah tanah di sebuah sel penjara di pulau peranginan itu pada Isnin.

    Banduan rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Tee Kok King, 50, yang sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun enam bulan atas kesalahan pengedaran dadah. - Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Beri Kerjasama Kesan Banduan Rakyat Malaysia Larikan Diri Dari Penjara Bali "