• PM Terharu Terima Salam Aidilfitri Pengunjung

    Published: Sunday, 25 June 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau terharu kerana begitu ramai orang sanggup beratur panjang semata-mata untuk bersalaman dengannya sempena Aidilfitri tahun ini.

    Perdana Menteri berkata, pada pengamatan beliau, jumlah pengunjung ke kediaman rasmi, Seri Perdana, kali ini jauh lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.

    "Hanya dua perkataan sahaja dapat saya fikirkan iaitu 'ramai' dan 'kepelbagaian', apabila melihat orang ramai membanjiri pekarangan Seri Perdana.

    "Saya difahamkan (Aidilfitri) kali ini ramai yang datang dari jauh dan sanggup menunggu semata-mata untuk bersalaman dengan saya.

    "Inilah cerminan rakyat kita, keakraban mereka dengan pemimpin menjadi teras menjamin masa depan yang memberangsangkan bagi negara.

    "Saya bersyukur dengan keyakinan rakyat terhadap pucuk pimpinan negara," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2017, di kediaman rasmi Perdana Menteri, di sini, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah pengunjung yang hadir pada majlis rumah terbuka hari ini meningkat berbanding tahun sebelumnya.

    Katanya, jelas mereka yang hadir ingin bersalaman dan beramah mesra dengan pemimpin negara terutama Perdana Menteri.

    "Saya dimaklumkan orang ramai yang hadir bukan sahaja dari Putrajaya atau Lembah Klang tetapi juga dari Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

    "Mereka dilihat berbaris dari jalan utama hingga mengelilingi kompleks Seri Perdana semata-mata untuk berjumpa dengan Perdana Menteri," katanya. - BHarian

    Subjects:

  • No Comment to " PM Terharu Terima Salam Aidilfitri Pengunjung "