• Plasma Darah Jadi Putih Kerana Terlalu Banyak Makan Daging

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+


    Zhongshan (China): Seorang lelaki yang makan terlalu banyak daging terkejut selepas mendapati plasma darahnya bertukar menjadi putih.

    Lelaki itu yang dikenali sebagai Zhao, 40, dimasukkan ke Hospital Zhongshan Chenxinghai di sini pada bulan lalu selepas mengadu sakit perut dan belakang.

    Dr Chen Guo-xiang memberitahu, pemeriksaan mendapati pankreas Zhao bengkak dan ujian darah dilakukan untuk mengesan puncanya.

    Selepas membuat ujian darah, doktor terkejut apabila mendapati plasma darah lelaki itu yang sepatutnya berwarna kuning cerah bertukar menjadi putih seperti susu.

    Plasma adalah komponen penting dalam darah yang membawa sel darah dan platelet ke tubuh badan.

    Chen berkata, warna putih pada plasma darah itu menunjukkan kandungan lemak badan yang berlebihan.

    “Kandungan lemak pada plasma darah pesakit ini adalah 25 kali lebih tinggi berbanding kadar normal.

    “Kadar yang tinggi ini menjejaskan pankreas pesakit dan menyebabkan organ itu bengkak,” katanya.

    Menurutnya, pihak hospital membuat pemindahan plasma darah yang sihat bagi menggantikan plasma darah pesakit itu.

    Sementara itu, Zhao memberitahu, dia menjalankan perniagaan makanan dan memakan daging dalam jumlah yang banyak sejak beberapa tahun lalu.

    “Saya hanya makan dan tidak pernah terfikir ia akan menjejaskan kesihatan saya,” katanya. - HarianMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Plasma Darah Jadi Putih Kerana Terlalu Banyak Makan Daging "