• PKS Sarawak Luas Pasaran Menerusi Ekonomi Digital

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+


    Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyahut cabaran Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk menceburi bidang ekonomi digital.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Naroden berkata ia adalah demi untuk mencapai sasaran kerajaan memperluaskan pasaran PKS ke pasaran lebih besar.

    "PKS harus berani menyahut cabaran Ketua Menteri untuk menceburi bidang ekonomi digital. Jika tidak anda akan kekal di takuk lama.

    “Beliau mahu melonjak ekonomi Sarawak hari ini kepada ekonomi digital. Menerusi ekonomi digital pasaran PKS kita dapat diperluaskan ke pasaran lebih besar," katanya.

    Naroden berkata menjelang tahun 2020, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 41 peratus berbanding 31 peratus setakat ini.

    "Selain itu kerajaan negeri turut menyasarkan peningkatan sumbangan PKS kepada penyediaan peluang pekerjaan kepada 65 peratus dan 23 peratus dalam nilai eksport pada tahun sama," ujarnya.

    Tambah Naroden lagi, menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Perusahaan Sarawak (SEDCC), kerajaan negeri memberi lebih fokus dan penekanan dalam membangunkan PKS di Sarawak.

    "Ia bertujuan bagi memastikan semua program dan inisiatif disediakan kerajaan memberi manfaat kepada usahawan," jelasnya.

    Naroden yang juga Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan E-Dadang berkata Sarawak mempunyai 43,830 usahawan PKS berdaftar dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan iaitu 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan di negeri ini.

    “Sektor pengeluaran negeri merupakan penyumbang utama kepada ekonomi kita (Sarawak) iaitu 27.2 peratus pada 2015," kata Naroden lagi.

    Mengulas lanjut, katanya, Sarawak kekal destinasi pelancongan ketiga teratas di Malaysia, menarik nilai pelaburan berjumlah RM11.8 bilion pada 2015 dan RM4.6 bilion pada 2016. - Sarawakiana

  • No Comment to " PKS Sarawak Luas Pasaran Menerusi Ekonomi Digital "