• ‘Pesan Dari Tuhan’, Erma Fatima Buang Ego

    Published: Friday, 23 June 2017
    A- A+

    Selepas dua tahun telefilem Pesan Dari Tuhan terperap ekoran tayangannya dibatalkan, pengarahnya Erma Fatima kini lega dan bersyukur kerana karya itu akhirnya dapat ditayangkan kepada penonton.

    Naskah yang membariskan pelakon hebat seperti Ellie Suriati, Azhan Rani, Remy Ishak dan Izreen Azminda ini akan ditayangkan pada hari raya kedua, jam 2 petang di saluran RTM2.

    Erma ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem tersebut baru-baru ini berkata, selepas penyiaran naskah itu dibatalkan oleh sebuah stesen televisyen swasta, beliau terpaksa akur dengan keputusan tersebut.

    Namun beliau terbuka hati dan nekad mahu telemovie ini tetap dapat ditayangkan selepas terbaca posting yang dimuat naik oleh Azhan Rani di Instagram.

    “Apabila stesen tv membatalkan penyiaran telefilem ini dua tahu lalu, saya terpaksa terima dan merasakan tidak mengapa jika mereka tidak mahu tayangkan. Malah saya tidak berusaha untuk ianya ditayangkan di stesen TV lain.

    “Sehinggalah Azhan Rani memuat naik di Instagram salah satu gambar pembikinan telefilem ini. Ayat yang ditulis Azhan pada posting itu membuatkan hati saya tersentuh dan saya terus terfikir, bahwa selama ini saya terlalu ego dan pentingkan diri sendiri. Saya tidak memikirkan mengenai orang lain seperti para pelakon dan kru-kru saya yang juGa sama-sama bekerja keras menghasilkan cerita ini.

    “Kemudian saya terus mencuba nasib, saya mengundang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, untuk menontonnya, sekali gus meminta pandangan beliau. Alhamdulillah, beliau berpendapat telefilem ini tidak menyentuh sentiviti dan bersetuju untuk menayangkannya di stesen RTM.

    “Dan baru-baru ini saya dimaklumkan Pesan Dari Tuhan akan ditayangkan pada hari raya kedua dan ia akan di ulang tayang seminggu kemudian.,” jelasnya dengan panjang lebar.

    Drama ini pernah mencetuskan kontroversi apabila ia gagal ditayangkan di kaca TV seperti diuar-uarkan kerana Erma tidak mengikut arahan stesen televisyen terbabit yang mahukan lapan babak dalam telefilem itu dipotong.

    Mengimbas semula mengenai proses pembikinannya, Erma berkata sepanjang 13 hari penggambaran cukup mencabar malah dia bersama kru produksi berdepan pelbagai dugaan.

    “Selama 13 hari penggambaran, sebanyak 90 peratus babak suasana hujan. Khidmat bomba digunakan untuk mengahsilkan air hujan dan pernah di tengah-tengah penggambrana, air pula habis. Pelakon saya yang kesejukan terpaksa menunggu untuk bomba kembali dengan bekalan air.

    “Selain itu, seorang kru saya nyaris di patuk ular kapak ketika kami sedang menjalankan penggambaran untuk babak di dalam sungai. Mujur ular itu terbang dan jatuh ke dalam air dan kebetulan kru saya yang berada di dalam perahu sedang memengang pendayung dan dia dapat menghalau ular itu.

    “Ada satu lokasi penggambaran, kami dimaklumkan oleh orang kampung yang kawasan itu keras. Tetapi saya tetap mahu menjalankan penggambaran di situ kerana semua persiapan sudah dibuat. Ketika hendak mulakan penggambaran, generator tidak boleh berfungsi dan kami terpaksa bergelap.

    “Sebab itu, apabila saya kenangkan semula proses pembikinan telefilem ini daripada awal lagi kami berdepan dengan pelbagai dugaan. Dan posting Azhan di IG dia, ia bagaikan satu tamparan bagi saya,” katanya.

    Pesan Dari Tuhan, terbitan terbitan Rumah Karya Citra ini mengisahkan perebutan kuasa dan harta pusaka oleh sebuah keluarga sehingga kampung mereka dilanda musibah. – md

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Pesan Dari Tuhan’, Erma Fatima Buang Ego "