• Permohonan TUBE Dilanjut Sehingga 18 Jun

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Permohonan untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan sehingga 18 Jun ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata pihaknya membuka 1,000 permohonan untuk program berkenaan tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM20 juta, berbanding hanya 500 setahun sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.

    Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 7,200 permohonan untuk program itu bagi tahun ini, namun sebahagian besarnya tidak layak kerana tidak menepati syarat dan kriteria ditetapkan.

    "Ini kerana kebanyakan yang memohon sudah memiliki perniagaan sendiri, melepasi had umur dan pernah mendapat bantuan daripada agensi kerajaan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Skim Pembiayaan Tekun Nasional (TEKUN).

    "Justeru, kita lanjutkan tarikh permohonan ini supaya kita dapat mencari dan melahirkan 1,000 usahawan belia tahun ini. Mereka yang berminat perlu menepati syarat ditetapkan iaitu berusia 18 hingga 30 tahun, belum memiliki perniagaan dan tidak pernah mendapat pinjaman.

    "Mereka yang memiliki sijil kemahiran dan berminat untuk memulakan perniagaan sangat digalakkan memohon," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu di stesen radio Terengganu FM di sini, hari ini.

    Ahmad Maslan berkata, program TUBE yang selaras dengan Transformasi Nasional (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bermatlamat membentuk masa depan negara dan menuju negara maju 2050, dengan menghasilkan lebih ramai usahawan yang secara tidak langsung akan mencetuskan peluang pekerjaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Permohonan TUBE Dilanjut Sehingga 18 Jun "