• Perintah berkurung perairan ESSZONE dilanjutkan

    Published: Friday, 23 June 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU: Perintah berkurung fasa ke-67 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-68, bermula esok.

    Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dikuatkuasakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi sehingga 9 Julai ini.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata peraturan itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

    Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai di daerah terbabit supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung.

    "Keperluan meneruskan perintah berkurung di perairan terbabit adalah bagi memastikan ia tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa, selain pelancong di pulau peranginan daripada menjadi mangsa penculikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

    "Maklumat mendedahkan kumpulan yang menculik mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

    "Kita juga mahu menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, yang menjadi pengguna perairan dan berada di daratan di kawasan ESSZONE," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

    Ramli berkata, pelaksanaan perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, selain menimbulkan rasa selamat dan yakin pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan.

    "Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya.- BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perintah berkurung perairan ESSZONE dilanjutkan "