• Penginapan jemaah haji Malaysia sudah sedia

    Published: Monday, 12 June 2017
    A- A+

    SEPANG: Tabung Haji (TH) bersedia dari segi penginapan untuk menyambut ketibaan 30,200 orang jemaah haji yang akan menunaikan ibadat haji di Tanah Suci bermula Julai ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata persediaan rapi terutama penginapan perlu dilakukan berikutan jumlah jemaah haji yang bertambah 7,880 orang selepas kerajaan mendapat keizinan tambahan kuota haji daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

    "TH berjaya menguruskan persediaan 23 tempat penginapan yang terletak kira-kira 950 meter daripada Masjidil Haram di Makkah dan 11 penginapan yang terletak 330 meter daripada Masjid Nabawi, Madinah," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pulang daripada lawatan kerja dan tinjauan persiapan TH di Makkah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

    Selain itu, katanya, penerbangan pertama jemaah haji ke Tanah Suci akan berlepas dari Malaysia pada 24 Julai dan penerbangan terakhir pada 25 Ogos.

    "Penerbangan nanti akan membabitkan lapan lapangan terbang iaitu di KLIA, Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

    "Semua jemaah haji negara dijadualkan pulang semula ke tanah air pada 7 September dan penerbangan terakhir dari Arab Saudi ialah pada 4 Oktober," katanya.

    Katanya, dalam pada itu semua bakal haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Kementerian Kesihatan dan memenuhi keperluan dalam buku perubatan termasuk mendapat suntikan Vaksin Meningitis ACYW135.

    "Jemaah haji juga digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan vaksin pneumokokal bagi jemaah yang berusia 50 tahun ke atas bagi mencegah risiko penyakit kronik seperti jangkitan paru-paru, darah tinggi dan lain-lain," katanya.-BHarianOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penginapan jemaah haji Malaysia sudah sedia "