• Pengebom Rancang Serang Masjidil Haram Letupkan Diri

    Published: Saturday, 24 June 2017
    A- A+


    RIYADH – Pasukan keselamatan Arab Saudi pada Jumaat berjaya menumpaskan serangan nekad ke atas Masjidil Haram di Makkah, dengan mengepung individu terbabit di sebuah apartmen kecil.

    Suspek kemudian meletupkan dirinya di kediaman itu yang terletak berhampiran masjid paling suci umat Islam tersebut, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi disiarkan melalui stesen televisyen negara.

    Kementerian tersebut menyatakan bahawa tiga kumpulan dikesan sudah merancang serangan jahat berkenaan terhadap para jemaah dan pasukan keselamatan tempatan di dalam masjid itu menjelang hujung Ramadan.

    Individu pengebom nekad yang terperangkap itu pada mulanya hanya berbalas-balas tembakan dengan pasukan keselamatan, sebelum bertindak dramatik meletupkan beberapa butir bom apabila dia dikepung di sebuah rumah.

    Insiden cukup memeranjatkan pelbagai pihak itu berlaku di tengah kawasan bandar kejiranan Ajyad al-Masafi di Makkah yang dikenal pasti digunakan sebagai pangkalan bagi serangan biadab itu, dedah kementerian tersebut.

    Bangunan tersebut runtuh menyebabkan enam warga asing dan lima anggota pasukan keselamatan cedera. Sebelum itu, pihak berkuasa berjaya menembak mati seorang lelaki yang dikehendaki di sebuah lagi tempat persembunyian.

    Suspek disyaki anggota militan di kejiranan al-Aseelah di Makkah. Kementerian itu juga menyatakan kumpulan ketiga tersebut juga berpecah di bandar Laut Merah di Jeddah, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

    Lima disyaki anggota militan termasuk seorang wanita turut ditangkap. Rakaman secara langsung disiarkan melalui stesen Al Arabiya memaparkan jutaan jemaah tekun menunaikan solat di masjid itu tanpa sebarang gangguan.

    Tidak jelas siapa yang menjadi dalang di sebalik pakatan jahat untuk menyerang masjid tersebut, tetapi kumpulan Daesh pernah dilaporkan melancarkan serangan di bandar itu sebelum ini namun ia digagalkan pihak berkuasa.

    Pada Mei tahun lalu, pasukan keselamatan Arab Saudi menembak mati dua individu yang didakwa militan Daesh di luar Makkah, dan dua lagi meletupkan diri mereka di luar bandar tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengebom Rancang Serang Masjidil Haram Letupkan Diri "