• Pemuda MCA Lancar Keselamatan Wanita Di FB

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Pemuda MCA hari ini melancarkan kumpulan interaksi ‘Female’s Information Group’ (Kumpulan Maklumat Wanita) menerusi media sosial Facebook, khusus untuk wanita yang sering menggunakan perkhidmatan teksi secara bersendirian.

    Naib Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting berkata kumpulan itu membolehkan anggotanya berkongsi maklumat keselamatan dan panduan tertentu untuk wanita yang menggunakan perkhidmatan teksi.

    “Sejak kebelakangan ini banyak kes rogol dan rompak membabitkan penumpang wanita ketika menggunakan perkhidmatan Grabcar, Uber dan teksi.

    “Adalah penting bagi kami untuk menyampaikan mesej dan tip berguna kepada mereka tentang keselamatan diri sama ada ketika di dalam kenderaan Grabcar, Uber ataupun teksi dan ketika menghadapi saat-saat panik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya kumpulan interaksi itu juga turut berperanan sebagai platform kepada mereka berbincang serta bertukar-tukar pendapat mengenai seni mempertahankan diri.

    “Tidak semestinya topik kita hanya berkisarkan tentang penumpang wanita yang bersendirian, kami turut memberi peluang kepada anggota-anggota kumpulan untuk berkongsi tip pemandu wanita dan ketika mengambil pengangkutan awam,” katanya.

    Wong turut mencadangkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya menggesa syarikat Uber dan Grabcar memasang butang SOS bagi keselamatan penumpang wanita.

    “Selain itu, semua perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar juga harus memastikan pemandunya bebas daripada rekod jenayah dan berkelakuan baik dengan melakukan penapisan sebelum meluluskan perkhidmatan mereka,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemuda MCA Lancar Keselamatan Wanita Di FB "