• Pembangunan Negara Perlu Seimbang Dengan Penghayatan Seni Budaya - Najib

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Pembangunan pesat yang sedang dinikmati negara perlu seimbang dan bergerak seiring dengan keperluan rohani melalui penghayatan terhadap seni dan budaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata ini kerana melalui penghasilan karya seni, semangat cinta dan bangga terhadap negara dapat disemai dan ditanam dalam jiwa rakyat.

    "Kalau kita nak membangunkan negara, ia tidak hanya melibatkan soal bangunan pencakar langit, kilang-kilang atau lebuh raya tetapi lebih penting adalah kualiti insan yang terbitnya dari lubuk hati dan jiwa kita.

    "Kalau dapat roh kita diisi bukan sahaja dengan kerohanian dan akhlak tetapi juga semangat cintakan negara, kerana inilah asas kecemerlangan negara ku Malaysia," katanya pada perasmian pameran Seni Negaraku di Balai Seni Negara, di sini.

    Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Najib berkata pameran Seni Negaraku dan program semangat kecintaan yang turut melibatkan penyertaan karya-karya pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah seni dapat menjadi medium untuk mereka menghasilkan karya yang bertunjangkan semangat cintakan negara selain memupuk penghargaan dan bakat seni pada usia yang muda.

    Katanya kerjasama erat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama-sama Kementerian Pendidikan juga dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat 'Negaraku' selain memupuk penghargaan terhadap karya dan bakat seni pelajar sekolah.

    "Adalah besar harapan saya bahawa generasi muda pada hari ini juga menjadi salah seorang penggiat seni yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

    "Semoga platform seni yang disediakan digunakan dengan sebaiknya untuk memperkasakan dan melestarikan perkembangan seni negara kita," katanya.

    Sementara itu, perdana menteri berkata peranan seni dalam sesebuah ketamadunan bangsa adalah penting dan digunakan sebagai rekod sejarah sejak awal lagi.

    Najib berkata pegawai-pegawai Residen Inggeris menggunakan kaedah melakar garis di atas kertas untuk mencatat bentuk muka bumi kawasan yang dilawati seperti Frank Swettenham dan Hugh Low yang banyak menghasilkan catatan sedemikian di Pahang dan Perak.

    Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan hadiah pertandingan Seni Negaraku kepada sembilan pemenang yang dipilih daripada lima juta pelajar seluruh negara yang mana karya nukilan mereka akan dipamerkan di Balai Seni Negara.

    Seni Negaraku menampilkan dua buah pameran iaitu Pameran Seni Negaraku yang menghimpunkan 88 karya daripada 72 pelukis dari koleksi awam dan persendirian, manakala pameran Reka Negaraku mempamerkan 36 artifak seni reka serta 53 cetakan mengenai barangan kegunaan harian seperti kotak mancis dan label ubat.

    Karya-karya tersebut mempunyai signifikan tersendiri kepada negara khususnya dalam menyelusuri sejarah serta titik-titik penting dalam pensejarahan seni lukis moden melalui genre romantik, kontemporari dan isu terkini.

    Antara karya yang dipamerkan adalah daripada pelukis Abdul Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, Joseph Tan, Anthony Lau dan Redza Piyadasa. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangunan Negara Perlu Seimbang Dengan Penghayatan Seni Budaya - Najib "