• Pelukis Batik Dipenjara 21 Tahun Rogol Kekasih

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+


    KOTA BHARU: Seorang pelukis batik dihukum penjara 21 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas empat tuduhan merogol remaja bawah umur yang juga kekasihnya, tahun lalu.

    Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mat Bukhari Ismail, 28, mengaku bersalah atas semua tuduhan itu.

    Bagi pertama hingga ketiga, dia dituduh merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian di tepi Pantai Kundur, Kota Bharu dan sebuah rumah tanpa nombor di pantai berkenaan pada jam 12 tengah malam dan jam 1 pagi, akhir November 2016.

    Tuduhan keempat pula, tertuduh dituduh melakukan perbuatan merogol ke atas remaja terbabit di tepi Pantai Kundur, Kota Bharu, pada jam 4.20 petang, 13 Disember 2016.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Siti Hajar Alias memohon supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah remaja bawah umur selain boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat.

    Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan enam sebatan bagi tuduhan pertama hingga ketiga berkuat kuasa tarikh ditangkap pada 15 Disember tahun lalu.

    Bagi tuduhan keempat, tertuduh dihukum penjara 11 tahun dan dua sebatan yang dijalankan secara berasingan. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Pelukis Batik Dipenjara 21 Tahun Rogol Kekasih "