• Peluang Masih Ada Untuk Malaysia Ke Pusingan Akhir WMHL

    Published: Monday, 26 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia terlepas slot automatik ke Final Liga Hoki Lelaki Dunia (WMHL) di India, Disember ini, apabila menduduki tempat keempat selepas kalah 4-1 kepada England pada saingan Separuh Akhir WMHL di London, malam ini.

    Pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, skuad negara gagal memberi saingan kepada England apabila ketinggalan 0-3 selepas minit ke-28 perlawanan.

    England, yang kalah tipis 2-0 kepada Belanda pada aksi separuh akhir semalam, memulakan perlawanan dengan rentak kemas dan pantas sebelum pakar pukulan sudut, Harry Martin membuka tirai jaringan seawal minit kelima.

    Empat minit kemudian, David Ames melakukan jaringan padang untuk memperkukuhkan kedudukan sebelum Harry menambah jaringan peribadi keduanya pada minit ke-28.

    Bagaimanapun, skuad Malaysian Tigers merapatkan jurang pada minit ke-53 menerusi jaringan padang oleh Faizal Saari sebelum England menutup tirai jaringan seminit sebelum tamat perlawanan oleh Phil Roper pada minit ke-59.

    England, selaku pasukan ketiga terbaik pada kempen ini, layak ke Final WMHL di Bhubaneswar, akhir tahun ini manakala Malaysia masih mempunyai peluang merebut slot terakhir sekiranya dapat mengatasi pasukan keempat bagi kempen Separuh Akhir WMHL di Johannesburg, Afrika Selatan.

    Hanya tiga pasukan terbaik masing-masing bagi kempen Separuh Akhir WMHL di London dan Johannesburg, Afrika Selatan, mara ke pusingan final yang mengandungi lapan pasukan.

    India, selaku tuan rumah, mendapat slot ketujuh manakala slot terakhir akan menjadi penentuan perlawanan antara pasukan keempat di London dan Johannesburg.

    Bagaimanapun, Malaysia menempah slot automatik ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India apabila lima pasukan terbaik kepada kempen Separuh WMHL di London layak ke pusingan akhir Piala Dunia. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Peluang Masih Ada Untuk Malaysia Ke Pusingan Akhir WMHL "