• Pelabur Suntik AS$9 Bilion Ke Pasaran Bon Asia

    Published: Monday, 26 June 2017
    A- A+

    SINGAPURA: Permintaan terhadap bon Asia berada di kemuncak dalam tempoh lapan bulan lalu dan ia dilihat bersedia kekal kukuh tahun ini, dipacu pulangan serantau lebih tinggi dalam persekitaran inflasi rendah di Amerika Syarikat (AS).

    Malaysia, Korea Selatan dan India adalah antara negara yang dijangka meraih manfaat daripada trend itu.

    Pelabur melabur AS$9 bilion (RM38.61 bilion) ke dalam bon kerajaan dan korporat Asia pada Mei, mencecah paras AS$8.8 bilion pada April, demikian menurut ANZ Research. Kedua-duanya adalah paras tertinggi sejak September 2016.

    Ahli Strategik Kanan, BNP Paribas Asset Management di London, Daniel Morris, berkata harapan awal Presiden Donald Trump akan melonjakkan inflasi dan pertumbuhan menerusi rangsangan fiskal tidak kecapaian.

    Ini menyebabkan penarikan turun kedua-dua pulangan dolar dan hutang AS.

    "Sehubungan itu, pendapatan tetap Asia kelihatan lebih menarik," katanya. Selepas mencecah paras tertinggi dua tahun 2.641 peratus pada Disember 2016, pulangan Perbendaharaan AS 10 tahun merosot.

    Ia jatuh kepada 2.103 peratus minggu lalu, paras terendah sejak Trump menang kerusi presiden, selepas AS melaporkan inflasi teras Mei, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga, berada di paras terendah dalam dua tempoh dua tahun.

    Data ANZ merangkumi pasaran bon negara membangun Asia seperti Korea Selatan, India, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan China.

    Kebanyakan dana pada April dan Mei memasuki India, membabitkan pulangan bon kerajaan 10 tahun sekitar 6.5 peratus, Malaysia (3.9 peratus) dan Korea Selatan (2.13 peratus), demikian menurut data itu.

    "Hakikat berlakunya pengurangan risiko dalam bentuk risiko politik Eropah, dan hakikat jangkaan inflasi yang lebih berkurangan di AS menjurus kepada jangkaan bagi dasar monetari yang tidak begitu agresif, secara umumnya menyokong pendapatan tetap Asia," kata Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap Asia, PineBridge Investments di Singapura, Omar Slim.

    Pelaburan dalam bon Asia sebahagiannya adalah tertumpu terhadap pertumbuhan ekonomi kukuh serantau, apabila Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Pasifik akan naik 5.5 peratus pada 2017 dan 5.4 peratus pada 2018.

    Wujud juga aliran masuk kukuh ke dalam Asia merentas kelas aset, justeru permintaan terhadap bon bukanlah berhubung keengganan atau mengelak risiko, kata Ketua Penyelidik Asia di ANZ, Khoon Goh. Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Pelabur Suntik AS$9 Bilion Ke Pasaran Bon Asia "