• ‘Orang AS Sendiri Pun Tak Percaya WSJ’ – Annuar

    Published: Saturday, 24 June 2017
    A- A+

    AKHBAR Wall Street Journal (WSJ) telah berusaha untuk guling kerajaan pimpinan UMNO sejak beberapa dekad – kini tokoh-tokoh Amerika Syarikat (AS) menyatakan WSJ menjual berita palsu.

    Untuk rekod, selama puluhan tahun, WSJ menyerang kerajaan dipimpin UMNO. Malaysia ada pengalaman luas dalam menepis dan menapis berita palsu, pembohongan bermotivasi politik dan penyelewengan disiarkan oleh WSJ.

    Akhbar propaganda rejim Israel itu sering menyasarkan kerajaan pimpinan UMNO yang berjaya mengambil-alih tampuk pimpinan di Malaysia sejak kemerdekaan lagi.

    WSJ telah mengutuk kerajaan pimpinan UMNO kerana menyokong pembangunan orang Melayu serta kaum-kaum lain di negara ini.

    WSJ berhasrat mengenakan agenda ekstremis sekular liberalnya sendiri di Malaysia, dan telah memperlihatkan pilih kasih yang terang- terangan terhadap pembangkang semenjak sekurang-kurangnya 19 tahun yang lalu.

    WSJ juga merupakan penyokong tegar peperangan haram Iraq yang telah menghancurkan Timur Tengah, memusnahkan sebuah negara, menyebabkan beratus-ratus ribu kematian.

    Ia malah bertanggungjawab secara langsung terhadap kebangkitan Daesh. Ironi WSJ sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak mahu dipersalahkan akibat penyebaran berita palsunya itu.

    Malangnya, ramai orang di seluruh dunia tidak sedar hakikat siapa WSJ yang sebenarnya. Tetapi Malaysia tidak bersendirian dalam mengetahui bahawa WSJ tidak boleh dipercayai. Ramai orang AS juga sudah mengenalinya.

    Senator Demokrat terkenal, Al Franken, bahkan telah menggambarkan WSJ sebagai “sengaja mengelirukan” dan merujuk kepada “putar belit WSJ yang norma.’ Putar belit ialah perkataan yang sering dikaitkan dengan WSJ.

    Ini ialah corak sering ditonjolkan. The Huffington Post malah menuduh WSJ menerbitkan gambaran terang-terangan salah dan seleweng fakta “untuk galak peperangan dan sekatan…. yang akan membuatkan orang biasa kebuluran.”

    Pusat Kemajuan Amerika menuduh WSJ melakukan putar belit sengaja “atas sebab obsesi ideologi.” Kumpulan pemikir terkenal dunia itu merujuk “WSJ yang pernah dihormati satu ketika dahulu” sebagai melakukan “penyebaran maklumat salah disengajakan.”

    Bagaimanakah WSJ boleh melakukannya? Majalah Salon telah menuduh WSJ mencuba “untuk mencemarkan nama baik dan menyingkir sesiapa yang tidak dapat dikendalikannya.”

    Ketua Bridgewater, Ray Dalio, firma pelindung nilai dana terbesar dunia, turut memberi pandangan. Beliau telah mencirikan laporan jurnal WSJ sebagai penuh dengan putar belit yang disengajakan.

    Beliau juga menyatakan WSJ ialah sebahagian daripada wabak berita palsu dan putar belit yang mengancam kesejahteraan masyarakat.

    Beliau menyatakan bahawa: “Sensasionalisme dan komersialisme telah menggantikan ketepatan dan integriti kewartawanan sebagai objektif utama.

    “Ramai, jika tidak majoriti, “wartawan” cuba menulis artikel yang mereka ingin tulis dan suka sesuaikan fakta-fakta ke dalam artikel tersebut daripada mengumpul fakta-fakta bagi melaporkan dengan tepat gambaran sebenar.”

    Bilangan wartawan sejati yang berusaha untuk menyampaikan maklumat tepat, katanya, “merupakan peratusan yang semakin mengecil daripada jumlah keseluruhan.”

    “Kegagalan untuk membetulkan masalah ini disebabkan oleh tiadanya pemeriksaan sistematik terhadap kualiti berita media.”

    Rakyat Malaysia kadang-kadang terkejut apabila akhbar-akhbar AS boleh menyiarkan pembohongan, dan mereka sangka bahawa akhbar itu akan dipaksa untuk menarik balik dan membetulkan kesilapan atau fabrikasi tersebut.

    Tetapi Dalio menyatakan bahawa di AS, tiada seorang pun boleh halang pencetakan akhbar seperti WSJ. Akhbar boleh siar apa sahaja dikehendakinya. Berita media adalah unik kerana merupakan satu-satunya industri beroperasi tanpa kawalan kualiti atau pemeriksaan kuasa.

    “Media mempunyai kuasa tanpa kawalan yang besar sehingga orang dan syarikat yang berkuasa pun takut untuk menentangnya, kerana tidak mahu terlibat dengan tuduh-menuduh.”

    Dalio menuduh Bradley Hope, wartawan yang sering menulis mengenainya untuk WSJ, sebagai seorang yang ada “sejarah menulis cerita mengelirukan” dan bergantung kepada “orang yang tidak berpuas hati secara berlebihan”.

    Ini termasuk ramai orang yang telah berusaha keras untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik. Sudah tentu, WSJ gembira untuk mendekati mereka tanpa menghiraukan ketepatan atau kebenaran.

    Seperti kata Dalio: Wartawan WSJ memilih “untuk tidak menyampaikan berita yang tidak sesuai dengan apa yang mereka ingin tulis”.

    Menjawab esei Dalio mengenai WSJ, seorang lagi ahli perniagaan Amerika menyifatkan akhbar itu sebagai “cuba untuk menjadi program realiti lebih daripada organisasi berita.”

    Itu mungkin menyeronokkan jika pembohongan dan penyelewengan tidak memberi kesan. Terlalu ramai orang percayakan berita palsu.

    Sudah terlalu lama WSJ jaja berita palsu mengenai Malaysia dibekalkan individu demi kepentingan diri sendiri. Individu itu sanggup melihat negara sendiri terjejas demi melayani kepentingan peribadi dan politik mereka.

    Rakyat Malaysia harus mendengar suara rakyat AS yang selama ini tahu bahawa WSJ mengabaikan fakta dalam mengejar agenda politik partisannya sendiri. WSJ telah menjadi saluran propaganda pembangkang.

    Ia bahkan kenderaan untuk parti lawan memburukkan kerajaan Malaysia.

    Sekarang rakyat Amerika telah mendedahkan WSJ sebagai penyebar berita palsu sebagaimana yang telah lama kita perkatakan, maka rakyat Malaysia tidak sepatutnya percayakan WSJ lagi.

    TAN SRI ANNUAR MUSA
    KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Orang AS Sendiri Pun Tak Percaya WSJ’ – Annuar "