• Op Selamat 11 bermula 18 Jun hingga 2 Julai

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kempen Op Selamat yang dilancarkan sejak 20 tahun lalu masih kurang memberi kesan positif dalam menurunkan kadar kemalangan dan jenayah pecah rumah semasa musim perayaan, berikutan kesedaran masyarakat yang masih rendah.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata objektif Op Selamat yang memfokuskan usaha mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan sukar dicapai sekiranya orang ramai tidak mempunyai kesedaran ke arah itu.

    "Saya berasa amat susah hati kerana setiap kali musim perayaan, banyak kemalangan maut yang berlaku.

    "Secara purata, sebanyak 7,000 kematian dicatatkan setiap tahun dengan 95 peratus punca kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu sendiri," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

    Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM, di sini.

    Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohamad Shazalli Ramly dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mahamad Akhir Darus. Op Selamat 11 mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi' dilaksanakan selama 15 hari bermula 18 Jun ini sehingga 2 Julai depan.

    Katanya, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga boleh dimanfaatkan oleh orang ramai untuk menghantar Borang Maklumat Balik Kampung.

    "Peratusan kes pecah rumah membabitkan rumah yang memberi notis balik kampung kepada kita (polis) adalah amat rendah.

    "Untuk tempoh tahun lalu, hanya lebih kurang 100,000 ribu pemilik rumah menghantar notis kepada kita walaupun ada peningkatan tiga peratus daripada 2015.

    "Justeru, lebih mudah isi borang itu melalui VSP yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan Apple Store.Kita boleh aturkan rondaan di kawasan rumah yang berdaftar," kata Khalid.

    Bagaimanapun, katanya sasaran 5 juta pengguna memuat turun aplikasi itu masih jauh apabila hanya 700,000 muat turun dicatatkan sejak aplikasi terbabit dilancarkan pada Mac lalu.

    Katanya, walaupun tujuan utama aplikasi itu diwujudkan bagi menggalakkan kerjasama masyarakat memerangi jenayah, ia boleh dimanfaatkan sepanjang kempen Op Selamat.

    Khalid berkata, sebarang kempen kesedaran jalan raya tidak akan membuahkan hasil sekiranya pemandu sendiri tidak mahu mengubah sikap.

    "Namun kami tidak akan jemu mengadakan kempen-kempen keselamatan untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada pemandu supaya mengamalkan pemanduan berhemah," kata Khalid lagi. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Op Selamat 11 bermula 18 Jun hingga 2 Julai "