• Najib Luang Masa Lawat Pasangan Suami Isteri OKU

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    KUBANG PASU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kodiang Lama Luar di Kodiang dekat sini petang ini.

    Najib yang tiba 6.30 petang itu bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar Osman Jusoh, 77, dan Siti Zabedah Saidin, 69, serta anak tunggal pasangan itu Intan Zulina, 31.

    Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

    Perdana menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi dan kotak barakah yang terdiri daripada barangan keperluan makanan.

    Sementara itu, Intan Zulina melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana sudi meluangkan masa melawat ibu bapanya meskipun sibuk dengan tugas hakiki sebagai pemimpin utama negara.

    “Saya mengharapkan ada sinar baharu untuk kami sekeluarga dengan kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak melawat mak ayah saya. Saya rasa dengan kehadiran beliau mungkin kami sekeluarga akan mendapat bantuan lebih baik lagi selepas ini,” katanya.

    Intan Zulina yang merupakan ibu tunggal anak tiga berkata dia berasa teruja untuk berjumpa perdana menteri selepas dimaklumkan tentang lawatan Najib itu pada Sabtu lalu, kerana hari ini merupakan pertama kali berjumpa secara bersemuka dengan perdana menteri.

    Bercerita tentang keadaan ibu bapanya , Intan Zulina yang berniaga nasi lemak berkata ibunya tidak boleh bercakap sejak lahir dan tidak boleh berjalan, terlantar sakit sejak hampir 20 tahun lepas akibat dipercayai pernah terjatuh di bilik air.

    “Ayah saya pula tidak boleh berjalan menggunakan kaki selepas mengalami demam panas sewaktu kecil, dengan hanya boleh mengesot menggunakan lutut untuk ke mana-mana. Ayah saya boleh bercakap tetapi percakapannya tidak jelas sepenuhnya,” kata beliau.

    Dalam pada itu, Intan Zulina juga mengharapkan ada pihak lain dapat menghulurkan bantuan kepada keluarganya selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diberi atas nama ibunya sebagai pesakit terlantar sebanyak RM300 sebulan.

    “Dulu saya bekerja tetapi terpaksa berhenti untuk memberikan tumpuan menjaga mak ayah saya sepenuhnya. Pendapatan saya berniaga dapat sekitar RM500 hingga RM600 sebulan, jadi dalam sebulan pendapatan kami sekeluarga lebih kurang RM900.

    “Dalam masa yang sama, saya juga perlu menanggung tiga anak lelaki berumur 12, 10, dan tujuh tahun selepas berpisah dengan suami sejak tahun 2014,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Luang Masa Lawat Pasangan Suami Isteri OKU "