• Maybank Islamic Bank Islam Terbaik 2017

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd dipilih sebagai 'Bank Islam Terbaik 2017 bagi Asia-Pasifik dan Malaysia'' oleh majalah kewangan berpangkalan di London, The Banker.

    Maybank dalam satu kenyataan hari ini berkata, The Banker mengiktiraf penerajuan Maybank Islamic dalam pasaran kewangan Islam Malaysia dan sebagai peneraju utama dalam kalangan pembiaya patuh syariah di seluruh negara.

    Penguasaan Maybank Islamic itu telah membawa kepada keputusan kewangan kukuh dari segi jumlah aset dan jumlah pembiayaan, termasuk akaun deposit dan akaun pelaburan, kata bank itu.

    "Aset modal Tier 1 dan aset patuh syariah menyeluruh juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, masing-masing meningkat 12 peratus dan 16 peratus.

    "Pulangan ekuiti Maybank Islamic bagi tahun ini ialah 15.4 peratus, manakala nisbah kos kepada pendapatannya ialah 36 peratus dan pembiayaan tidak berbayar hanya 0.8 peratus," katanya.

    Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2016, keuntungan bersih Maybank Islamic naik 10 peratus kepada RM1.34 bilion dan jumlah aset berkembang 16 peratus kepada RM181.8 bilion.

    Kadar pertumbuhan kukuh bank itu di Singapura dan Indonesia juga menyumbang kepada pengiktirafannya sebagai yang terbaik di Asia-Pasifik.

    Di Singapura, jumlah aset syariah antara 2010 dan 2016 berkembang 73 peratus manakala jumlah pembiayaan meningkat 61 peratus tahun ke tahun pada tahun lepas.

    Di Indonesia, pembiayaan dan deposit masing-masing meningkat 61 peratus dan 71 peratus pada 2016 apabila keuntungan sebelum cukai naik 62 peratus dalam tempoh yang sama.

    Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank itu berhasrat untuk meningkatkan lagi jenamanya di peringkat global, di samping terus mengukuhkan lagi operasi serantau sedia ada dan menerajui usaha menggalakkan Kewangan Sosial Islam menerusi inisiatif zakat dan waqafnya, sejajar dengan misi Kumpulan Maybank, menginsankan perkhidmatan kewangan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Maybank Islamic Bank Islam Terbaik 2017 "