• Maut Ketika Periksa Treler Rosak

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    SEREMBAN: Seorang pemandu treler yang memeriksa bahagian belakang kenderaannya yang dipercayai rosak, maut akibat dirempuh treler lain di Kilometer 260.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Taman Rasah Jaya, di sini, semalam.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2, Md Munawir Md Yusuf berkata, pada kejadian 2.10 petang, mangsa lelaki 40-an memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan.

    Mangsa berbuat demikian bagi memeriksa bahagian belakang treler yang dipercayai terdapat sedikit gangguan.

    “Ketika memeriksa, lelaki itu dikejutkan apabila sebuah treler lain di belakang hilang kawalan dan merempuhnya. Akibatnya, mangsa maut di lokasi manakala pemandu sebuah lagi treler tersepit dalam kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.14 petang mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

    “Sebaik tiba, anggota mendapati mangsa tersepit sudah dikeluarkan orang awam. Mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk tindakan susulan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dihubungi mengesahkan kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Ketika Periksa Treler Rosak "