• Mangsa Bunuh Dihentak Di Kepala, Leher Sebelum Dikerat

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Polis mendedahkan hasil bedah siasat mayat buruh kontrak warga Bangladesh mendapati punca kematiannya adalah disebabkan hentakan dengan benda tajam atau keras pada bahagian kepala dan leher.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan perkara terbabit selepas doktor pakar menjalankan bedah siasat ke atas mayat Azad Late Late Mofyan Uddin, 38, hampir lapan jam di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, bermula jam 11.45 pagi semalam.

    Katanya, mayat mangsa juga dipotong enam bahagian secara kemas pada bahagian sendi kaki dan tangan dengan objek yang tajam dan berat tanpa menjejaskan organ dalaman.

    "Guni pertama berisi bahagian kepala hingga ke pusat badan manakala guni kedua, berisi bahagian pinggang hingga ke lutut.

    "Guni ketiga pula berisi kedua-dua belah tangan dan kaki mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

    BH semalam melaporkan polis menemui mayat Azad Late dikerat beberapa bahagian dan dibuang dalam tiga guni di sebuah rumah berkembar di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani, dekat sini.

    Susulan kejadian itu, polis sedang mencari dua rakan mangsa, yang juga warga Bangladesh untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Dua rakan mangsa dikenali sebagai Md Julfikar, 37, memegang pasport bernombor BA0101505 dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Nur, 50, memegang pasport 05776663. Kedua-dua rakan suspek adalah pembantu kedai makanan sejuk beku. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mangsa Bunuh Dihentak Di Kepala, Leher Sebelum Dikerat "