• Malaysia Komited Tambah Pelaburan Di Indonesia

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia komited meningkatkan pelaburan di Indonesia, negara jiran yang menjadi rakan dagang penting kepada negara.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata antara 2008 hingga 2016, Malaysia sudah melabur kira-kira AS$15 bilion (RM63.9 bilion) di negara jiran terbabit, manakala Indonesia melabur kira-kira AS$2.6 bilion (RM11.07 bilion) di negara ini.

    "Sepanjang sedekad lalu, syarikat Malaysia mengukuhkan kehadirannya di Indonesia termasuk dalam sektor utama seperti perbankan, perladangan, pembinaan, jalan raya bertol, tenaga dan telekomunikasi.

    "Pada mesyuarat meja bulat perniagaan yang dipengerusikan saya dan menteri bertanggungjawab dalam memudahkan pelaburan Malaysia di Indonesia, Eko Putro Sandjojo, syarikat Malaysia menyatakan minat untuk terus berperanan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi Indonesia," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Indonesia yang berakhir hari ini.

    Mesyuarat berkenaan turut disertai 80 pemimpin perniagaan, mewakili 40 syarikat Malaysia dan bakinya Indonesia.

    Ia adalah perbincangan pertama dengan jumlah penyertaan delegasi perniagaan peringkat tinggi terbesar setakat ini.

    Antara pemimpin utama menyertai mesyuarat itu ialah Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Indonesia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengerusi Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia (KADIN), Rosan Roeslani; dan Pengerusi Unit Malaysia di KADIN, Tigor Siahaan.

    Mustapa berkata, penyertaan kukuh syarikat negara dalam acara berkenaan menunjukkan minat Malaysia untuk terus melabur di Indonesia.

    Katanya, ia disokong oleh keyakinan dalam trajektori ekonomi Indonesia dan pembaharuan dalam mengurangkan isu birokrasi kepada pelabur yang dipelopori pentadbiran Presiden, Joko Widodo (Jokowi).

    "Ketika kunjungan saya ke atas Jokowi di Istana Presiden, saya menyampaikan minat syarikat Malaysia untuk terus melabur dalam pembangunan infrastruktur Indonesia.

    "Pada saiz ekonomi berjumlah AS$1 trilion (RM4.26 trilion) dengan 250 juta penduduk dan kelas pertengahan yang terus berkembang, ia menjanjikan potensi besar ke arah mewujudkan ASEAN yang lebih makmur.

    "Saya juga menyatakan mesej sama ketika mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita bagi mencapai sasaran perdagangan AS$30 bilion (RM127.8 bilion).

    "Kita bersetuju untuk tampil dengan cadangan khusus untuk meningkatkan perdagangan termasuk usaha berpotensi dalam bidang baharu termasuk ekonomi digital dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME)," katanya.

    Beliau berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan dan Perdagangan Bersama ketiga yang berlangsung pada 10-13 Julai ini di Kuching, Sarawak.

    Info:

    * Nilai perdagangan Malaysia-Indonesia AS$13.8 bilion pada 2016 - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Komited Tambah Pelaburan Di Indonesia "