• Malaysia Amal Dasar Mesra Pelabur Asing

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan terus mengamalkan dasar mesra pelabur asing walaupun berdepan pelbagai reaksi negatif daripada pembangkang.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa pelabur khususnya pelabur asing tidak termakan dengan hasutan pembangkang yang cuba memburukkan imej negara.

    Katanya, kerajaan mengalu-alukan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dari semua negara sama ada dari Jepun, China, Arab Saudi, Amerika Syarikat atau Singapura.

    "Jika pelaburan itu memberi tambah nilai kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, kedatangan pelabur amat dialu-alukan.

    "Tolong abaikan apa yang pembangkang dakwa mengenai FDI kerana dakwaan itu dibuat secara melulu, tiada asas dan bersifat rasis," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah projek Bukit Bintang City Centre (BBC) dan Mitsui Shopping Park LaLaport KL (LaLaport KL) di sini.

    Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi UDA Holdings Bhd merangkap Pengerusi BBCC Development Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

    BBCC akan dibangun di tapak seluas 7.76 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.7 bilion menerusi kerjasama UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pelaburan bersama Mitsui Fudosan dan Sony Music Japan.

    Pelan induk pembangunan BBCC merangkumi pusat beli belah, hab hiburan, hotel, dua blok pejabat, lima blok pangsapuri dan kediaman mewah.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata projek pembangunan BBCC di tapak bersejarah bekas Penjara Pudu, di sini berupaya mengangkat imej Kuala Lumpur sebagai metropolis antarabangsa moden.

    Perdana Menteri berkata, projek pembangunan ikonik itu dijangka mengubah kawasan bekas tapak penjara zaman kolonial itu menjadi pusat pembangunan bersepadu kelas dunia.

    Beliau berkata, dengan sasaran 36 juta pelancong yang memberi penjanaan pendapatan RM168 bilion menjelang 2020, projek BBCC bakal menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang penting. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Amal Dasar Mesra Pelabur Asing "