• Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Kendali Kes Pertama 4 Julai Depan

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, hari ini, akan mengendalikan kes pertama pada 4 Julai depan. 

    Penubuhan mahkamah itu tercetus daripada idea Perdana Menteri sendiri yang diumumkan ketika beliau berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Kuala Lumpur, Mac lalu.

    Mahkamah khas berkenaan bukan sahaja menjadi mahkamah pertama seumpamanya diwujudkan di negara ini, malah yang pertama di Asia Tenggara.

    Ia diwujudkan bertujuan mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan mempercepatkan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak.

    Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya berkata, buat permulaan, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya ini akan mendengar kes-kes yang berlaku di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Beliau berkata, penubuhan mahkamah ini nanti akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia.

    "Semestinya, mahkamah ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan.

    "Bukan itu sahaja, malah mahkamah ini akan turut mempunyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus dalam jenayah seksual kanak-kanak," katanya.

    Perdana Menteri berkata, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada, yang mana mengendalikan kes di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.

    "Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang baharu ditubuhkan ini adalah untuk membicarakan kes jenayah seksual, di mana mangsanya adalah kanak-kanak," katanya.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Kendali Kes Pertama 4 Julai Depan "