• Lebih 100 Maut Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Dhaka

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    DHAKA: Hujan lebat yang menyebabkan kejadian tanah runtuh meragut sekurang-kurangnya 120 nyawa di mana kebanyakan mangsa tertimbus ketika sedang tidur di rumah masing-masing.

    Polis turut menjangkakan peningkatan jumlah kematian apabila petugas kecemasan sampai ke kawasan terpencil di bahagian Bukit Chittagong di mana hubungan telefon dan jalan raya tersekat.

    Menurut satu kenyataan rasmi, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di kawasan Chittagong manakala enam orang lagi di Bandarban.

    15 orang lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan lumpur, lapor AFP.

    Kebanyakan mangsa adalah komuniti etnik miskin yang tinggal di kawasan berbukit terpencil di daerah Rangamati, berhampiran sempadan India di mana tanah runtuh menimbus ratusan buah rumah.

    Salah seorang mangsa, Khatiza Begum ketika menceritakan detik cemas itu berkata, runtuhan yang berlaku pada tengah malam itu menyebabkan mereka sekeluarga tercampak ke rumah jiran.

    “Beberapa ahli keluarga lain turut mencari perlindungan di sini namun selepas waktu subuh sebahagian daripada bukit runtuh dan menimbus rumah. Enam orang masih lagi tidak ditemui,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah berkenaan Sayed Tariqul Hasan berkata, kebanyakan kes kejadian tanah runtuh berlaku sebelum subuh pada Selasa.

    “Ada di antara mangsa sedang tidur di rumah mereka di kawasan lereng bukit itu ketika tanah runtuh berlaku,” katanya.

    Susulan daripada kejadian itu, polis dan pihak berkuasa tempatan mengarahkan pemindahan ribuan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan di kaki bukit di kawasan Chittagong. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 100 Maut Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Dhaka "