• KWSP Keluar Amaran Penipuan Mesej Palsu

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan amaran kepada ahlinya mengenai mesej palsu dan penipuan yang diedarkan menerusi media sosial, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

    Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, ia sudah mengenal pasti SMS palsu yang dihantar kepada ahli dengan mendakwa KWSP akan menyekat akaun mereka dalam tempoh 24 jam, kecuali mereka menghubungi nombor telefon yang diberikan.

    "Mesej rasmi daripada KWSP akan memaparkan kod ringkas lima digit sebagai pengenalan penghantar (ID), dan mesej itu tidak dihantar kepada ahli menggunakan nombor mudah alih peribadi," kata dana pencen terbesar negara itu.

    KWSP berkata, terdapat sindiket atau ejen yang aktif mempromosi perkhidmatan mereka menerusi media sosial, dengan menawarkan bantuan kepada ahir yang mahu mengeluarkan simpanan KWSP dan dikenakan bayaran fi.

    Ada kes yang membabitkan penghantaran dokumen palsu bagi memudahkan kelulusan pengeluaran oleh ejen-ejen ini.

    "KWSP tidak melantik atau membenarkan permohonan pihak ketiga untuk mengeluarkan simpanan. Ahli yang layak boleh membuat pengeluaran daripada akaun masing-masing terus daripada KWSP tanpa bayaran," katanya.

    KWSP mengingatkan ahli supaya berhati-hati apabila menerima mesej berkaitan KWSP dan tidak terpedaya dengan mesej palsu, selain mengelak daripada melayani SMS/ WhatsApp atau sebarang urusan dengan penghantar mesej.

    Untuk penjelasan dan maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Hubungan KWSP di 03-89226000 atau mengunjungi kaunter KWSP di seluruh negara.

    Ahli juga boleh merujuk pautan mengenai maklumat palsu KWSP di http://www.kwsp.gov.my/portal/en/web/kwsp/general/chain-emails. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KWSP Keluar Amaran Penipuan Mesej Palsu "