• KPDNKK Terengganu Rampas Barangan Hampir RM80,000

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    JERTIH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merampas barangan bernilai RM79,701.82 dalam operasi sejak awal Ramadan sehingga 14 Jun lalu.

    Pengarahnya, Azlan Abdul Samat berkata, nilai rampasan itu membabitkan 64 kes kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

    "Nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan sepanjang tempoh ini berjumlah kira-kira RM6,500.

    "Pemeriksaan membabitkan 6,306 premis termasuk kedai runcit, pasaraya, dan Bazar Ramadan," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Peringkat Negeri Terengganu di Pasaraya Giant, di sini, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

    Azlan berkata, daerah Kuala Terengganu menunjukkan jumlah kes tertinggi iaitu 40 kes diikuti Besut (13 kes), Dungun (sembilan kes) dan Kemaman (dua kes).

    "Setakat ini, kita menerima hanya satu aduan berhubung harga nasi beriani mencecah RM13 di Kemaman dan kes itu sudah diselesaikan," katanya.

    Beliau berkata, sepanjang tempoh SKHMP, pegawai dan kakitangan KPDNKK akan sentiasa turun padang bagi memastikan peniaga mematuhi arahan ditetapkan.

    "Kita juga membuka kaunter aduan di beberapa lokasi serta orang ramai juga boleh mengemukakan aduan melalui talian bebas tol di 1-800-886-800," katanya.

    Azlan berkata, peniaga juga digalakkan menjual dengan harga lebih rendah daripada harga maksimum jika memperoleh bekalan dengan harga rendah.

    "Skim ini bermula semalam dan berakhir pada 30 Jun yang menyenaraikan 20 harga barangan kawalan untuk mengurangkan beban rakyat berbelanja sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini," katanya. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KPDNKK Terengganu Rampas Barangan Hampir RM80,000 "