• KP JPJ Beri Keterangan Di SPRM

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron menyatakan pihaknya sentiasa memberi kerjasama untuk sebarang siasatan membabitkan agensi penguatkuasaan itu.

    Beliau berkata, sebagai agensi penguatkuasaan, jabatannya turut menempuh dugaan apabila ada laporan dibuat.

    "Dia (SPRM) suruh datang... (saya) beri keterangan dan penjelasan yang diminta.

    "Kita bekerjasama... JPJ sentiasa bekerjasama untuk apa-apa siasatan," katanya selepas selesai memberi keterangan di SPRM Selangor, 11.40 malam tadi.

    Sebelum itu beliau hadir di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam kira-kira 3 petang semalam.

    Nadzri berkata, beliau dimaklumkan untuk datang memberi keterangan ketika berada di pejabatnya semalam.

    Mengenai dakwaan terhadapnya, Nadzri berkata, beliau belum dimaklumkan mengenainya lagi.

    Menurutnya, beliau akan datang lagi memberi keterangan selepas ini.

    "Saya akan datang lagi, tak kan sekejap saja," katanya.

    Semalam, Harian Metro (HM) melaporkan Ketua Pengarah agensi penguatkuasaan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung set golf bernilai RM45,000 yang diterimanya.

    Sumber SPRM berkata, selain Ketua Pengarah bergelar Datuk Seri itu, tiga lagi pegawai termasuk pembantu peribadinya dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut. - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " KP JPJ Beri Keterangan Di SPRM "