• Korban Tanah Runtuh Bangladesh Kini 152 Orang

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+


    CHITTAGONG: Angka terkini bencana tanah runtuh terburuk dalam sejarah Bangladesh mencecah 152 orang ketika pasukan penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hilang.

    Penduduk kampung di kawasan paling teruk terjejas menggunakan penyodok untuk menggali keluar mayat daripada lumpur yang menimbus kediaman mereka ketika tidur.

    Pihak berkuasa berkata, beratus-ratus rumah tertimbus lumpur dan tanah runtuh daripada kawasan berbukit, selepas monsun membawa 343 milimeter hujan di negara itu dalam tempoh 24 jam.

    Ketua Jabatan Pengurusan Bencana, Reaz Ahmed berkata, tanah runtuh itu adalah yang terburuk dalam sejarah negara dan menjangkakan jumlah kematian akan meningkat apabila pasukan penyelamat tiba di kawasan pedalaman.

    Salah seorang penduduk, Khodeza Begum terselamat daripada bencana yang memusnahkan rumah beliau dan mengorbankan 11 mangsa lain di kampungnya.

    Begum memberitahu laman berita tempatan, selepas subuh kelmarin, beliau tersedar dan menyaksikan sendiri bagaimana sebahagian lereng bukit runtuh di depan matanya.

    "Ketika keluar, saya dapat melihat tanah runtuh dari bukit. Saya segera mengarahkan ahli keluarga keluar dari rumah mereka," katanya.

    "Rumah saya tertimbus lumpur hanya dalam beberapa saat. Saya tidak pernah melihat bencana sebegini sepanjang hidup saya."- Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Korban Tanah Runtuh Bangladesh Kini 152 Orang "