• Kes Bunuh Bill Kayong: 18 Ogos dengar keterangan bela diri Fitri

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+


    MIRI: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 18 Ogos depan untuk mendengar keterangan bela diri tertuduh pertama, Mohamad Fitri Pauzi yang dituduh membunuh aktivis sosial Bill Kayong pada 21 Jun tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthran N. Paramaguru setelah mempertimbangkan permohonan kedua yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz.

    Terdahulu di hadapan mahkamah, Fuad mengemukakan dua permohonan iaitu yang pertama memohon agar perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga rayuan terhadap pembebasan tertuduh kedua, ketiga dan keempat diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Manakala dalam permohonan kedua, beliau memohon penangguhan selama dua minggu bagi menyiasat notis alibi yang difailkan pada 12 Jun lalu oleh peguambela Ranbir Singh yang mewakili Fitri.

    “Memandangkan semua pihak terkejut dengan permohonan pertama yang dibuat pagi ini (semalam), saya akan menangguhkan keputusan berhubung perkara itu.

    “Oleh kerana tiada bantahan daripada pihak peguam bela berhubung permohonan kedua, justeru saya menangguhkan perbicaraan ini ke 18 Ogos depan, yang merupakan tarikh paling awal yang sesuai untuk semua pihak,” katanya.

    Sementara itu, Ranbir memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya akan memanggil seorang saksi pembelaan.

    Justeru katanya, tempoh sehari adalah mencukupi untuk mendengar keterangan bela diri tertuduh.

    Pada 6 Jun lalu, Ravinthan mendapati pihak pendakwa berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Fitri dalam kes ini, justeru menetapkan semalam (14 Jun) untuk tertuduh dipanggil membela diri.

    Dalam pada itu, beliau memutuskan agar tertuduh Lie Chang Loon, Chin Wei Chung dan Datuk Stephen Lee Chee Kiang yang merupakan tertuduh kedua, ketiga dan keempat dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Kayong setelah mendapati tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan mereka dengan kesalahan didakwa.

    Fitri, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Kayong.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasaraya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

    Manakala Lie, 38, dari Taman Pin Fook; Chin, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Datuk Stephen Lee, 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Fitri untuk membunuh Kayong.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

    Hadir sama mendengar kes itu semalam ialah TPR Hayda Farizal Abu Hassan, peguam bela Orlando Chua, Arthur Lee dan David Kuok serta tiga peguam bela pemerhati bagi keluarga Kayong yang diketuai Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How.

    Turut hadir Ahli Parlimen Miri Michael Teo, ADUN Krian Ali Biju, ahli keluarga Kayong serta ahli beberapa NGO di sini.-Utusan Borneo Online
  • No Comment to " Kes Bunuh Bill Kayong: 18 Ogos dengar keterangan bela diri Fitri "