• Kerajaan Teliti Suara, Cadangan PKS - Najib

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan suara dan cadangan yang dikemukakan oleh wakil-wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diteliti oleh kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara holistik ke arah merealisasikan program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus komited dalam membangun dan memperkasakan PKS.

    “Saya percaya bahawa PKS memainkan peranan besar sebagai agen-agen dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

    “Ini terbukti apabila sumbangan PKS kepada Keluara Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2015 meningkat kepada 36.3 peratus berbanding 35.9 peratus sebelumnya atau bersamaan dengan RM385.6 bilion,” katanya menerusi laman blog najibrazak.com hari ini.

    Dalam pada itu, Najib turut berpeluang meluangkan masa bersama dengan wakil PKS serta usahawan tekno daripada pelbagai industri pagi ini.

    Jelas beliau, banyak perkara dan maklum balas yang telah diperincikan kepada beliau di dalam pertemuan itu dalam usaha memperkasakan PKS.

    “Saya ambil maklum akan permintaan pihak-pihak yang memohon agar peruntukan gerak bagi PKS ditambah. Antara yang menyokong cadangan ini ialah Datuk Faridah A. Jabbar mewakili Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia; Datuk Hazimah Zainuddin mewakili Hyrax Oil Sdn. Bhd.; Jenny Tan mewakili Sydney Cake House Sdn. Bhd., dan Datuk Jamaludin Mat Saad mewakili Dewan Usahawan Industri Desa Malaysia.

    “Dalam menggalakkan PKS menjadi lebih global, Hazimah juga telah mencadangkan agar insentif diberi kepada PKS yang ingin eksport produk-produk mereka. Datuk Hafsah Hashim daripada SME Corp juga telah mencadangkan insentif diberikan kepada PKS yang mempunyai 100 peratus tenaga kerja tempatan,” jelas beliau.

    Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, ada juga wakil yang menyuarakan harapan agar syarikat milik kerajaan (GLC) lebih aktif melabur dalam PKS dan menyokong barangan buatan Malaysia.

    Selain itu, beliau berkata, ada juga yang telah berkongsi cabaran dihadapi PKS dalam menyesuaikan perniagaan mereka dalam menghadapi zaman digital ini.

    “Secara keseluruhan, perbincangan yang tadi walaupun singkat sangatlah membina. Ramai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ke atas ekosistem ekonomi yang mesra PKS melalui SME Corp.



    “Saya gembira mendapat maklum balas daripada Datuk Ir. Muhammad Guntor wakil syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. yang mana syarikat beliau telah mendapat manfaat daripada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi,” ujar beliau. - UTUSAN ONLIN

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Teliti Suara, Cadangan PKS - Najib "