• Keputusan Ujian Kimia Dapati Bukan Beras Plastik

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Jabatan Kimia ke atas sampel beras jenama Rambutan Super Special Tempatan 15 peratus yang dikeluarkan pada 20 Jun lalu mendapati beras terbabit adalah beras tulen dan tiada kandungan plastik atau sebarang unsur lain seperti yang ditularkan di media sosial.

    Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, Cawangan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) juga telah melakukan siasatan ke atas kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama berkenaan di Alor Setar, Kedah pada 18 Jun lalu.

    “Selain itu, kementerian juga telah menghantar kepada Jabatan Kimia sampel-sampel beras yang diambil daripada beberapa lokasi lain, termasuk kilang di Perak dan Pahang serta pasar raya di Selangor.

    “Kementerian pada masa ini masih menunggu keputusan analisis makmal bagi sampel-sampel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Terdahulu, kata Shamsuddin, satu aduan polis mengenai beras plastik di buat di Kulai, Johor pada 6 Jun 2017 dan KPB telah membuat siasatan serta menghantar sampel beras tersebut kepada Jabatan Kimia.

    “Hasil analisis yang diterima daripada Jabatan Kimia pada 13 Jun juga menunjukkan tiada unsur plastik dalam kandungan beras yang disiasat,” katanya.

    Justeru, beliau meminta orang ramai tidak mudah percaya kepada dakwaan yang tular di media sosial mengenai isu beras plastik.

    “Mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh menghubungi pejabat KPB negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya serta dapat mengelakkan kekeliruan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Keputusan Ujian Kimia Dapati Bukan Beras Plastik "