• Kenyataan Nazri Terlalu Biadap dan Bongkak – BNBBC Sarawak

    Published: Monday, 12 June 2017
    A- A+
    KUCHING: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Persekutuan, Datuk Seri Nazri Aziz yang melabelkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Karim Rahman Hamzah "Setahun Jagung" sebagai biadap, bongkak dan tidak wajar.

    Pengerusinya Paulus Gumbang berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak wajar tetapi juga tidak mencerminkan seseorang yang layak sebagai seorang menteri kanan dan dalam semangat keluarga Barisan Nasional (BN).

    Menurutnya, daripada memperkecilkan seorang Menteri dengan serangan peribadi, Nazri seharusnya menjelaskan rasional di sebalik Cukai Pelancongan tersebut.

    “Sebagai Menteri Kanan Datuk Seri Nazri perlu memahami bahawa sebagai Menteri Negeri, Datuk Karim bukan semata-mata menyatakan pendapat peribadi tetapi mewakili suara rakyat negeri ini,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini

    Justeru katanya, BNBBC berpendapat kenyataan Datuk Karim adalah benar bahawa aspek pelancongan tidak diberi perhatian dalam Perlembagaan Persekutuan dan hanya dimasukkan kemudian tanpa berunding terlebih dahulu dan mendapat pengesahan daripada Dewan Undangan Negeri.

    “Dalam hal ini, kami percaya bahawa undang-undang berkenaan tidak boleh digunapakai di negeri ini,” katanya.

    Nazri pada Ahad menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri 'setahun jagung', berikutan gesaan Abdul Karim yang meminta kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal dikuatkuasa 1 Julai depan.

    Ketika bercakap kepada media, Nazri turut menyifatkankan permintaan Abdul Karim sebagai permintaan "samseng"

    Dikenali sebagai pemimpin celupar dan bongkak, Nazri malah menyindir Abdul Karim agar belajar darinya terlebih dahulu jika mahu jadi samseng. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kenyataan Nazri Terlalu Biadap dan Bongkak – BNBBC Sarawak "