• Kawalan Keselamatan Negara Terletak Di Tangan Rakyat - PM Najib

    Published: Sunday, 25 June 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Rakyat berperanan dalam menjamin keselamatan negara dengan memastikan mereka tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan eksremis yang bukan sahaja boleh menggugat keselamatan malah kesejahteraan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata keamanan yang dikecapi negara kini membolehkan rakyat khususnya umat Islam menyambut Aidilfiltri dengan keadaan aman dan harmoni.

    Katanya tugas-tugas menjaga keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan yang sedang menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cergas dan pantas untuk melindungi negara daripada ancaman-ancaman di sempadan.

    Hari ini kita melihat bahawa keamanan dan keselamatan (negara) amat terjamin dan tanpa itu, tidak mungkin kita dapat menyambut Hari Raya secara bebas. Saya ingin menyatakan kawalan yang paling selamat adalah daripada rakyat sendiri.

    Kalau rakyat tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan ekstremis, kita dapat menyambut Hari Raya dalam keadaan bebas tanpa rasa gusar dan ketakutan. Inilah mesti kita pertahankan selama-lamanya, katanya.

    Najib berkata demikian dalam temu ramah lintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini, yang bermula pada 10 pagi hingga 4 petang ini.

    Tambah Najib, kita dapat merasai dan menikmati kebebasan agak terjamin dengan kawalan keselamatan yang baik pada majlis hari ini. Ia memperlihatkan keamanan negara kita terus terjamin tanpa sebarang insiden tidak diingini.

    Kepada satu soalan, perdana menteri berkata perpaduan merupakan asas penting untuk menjamin keutuhan dan kestabilan politik yang akan memberikan keyakinan kepada semua.

    Kalau negara ini aman dan stabil kerana kita bersatu padu dan menghormati satu sama lain, saya percaya Malaysia merupakan negara yang terus berjaya dan maju, katanya.

    Ditanya mengenai sambutan rumah terbuka kali ini, Najib menyifatkan sambutannya luar biasa dan menggambarkan ia dengan dua perkataan iaitu 'ramai dan kepelbagaian'.

    Saya berasa bahawa Rumah Terbuka ini adalah acara yang sangat bermakna kepada rakyat dan kepada saya sebagai perdana menteri sebab hari ini saya dapat membuka pintu Seri Perdana kepada pelbagai kaum. Ini merupakan satu sambutan yang lengkap yang memperlihatkan keceriaan yang spontan.

    Saya diberitahu bahawa orang ramai sedang beratur sehingga ke jalan utama. Saya terharu mereka datang dari jauh dan dekat kerana mahu memastikan hubungan rakyat dan pemimpin terus kukuh sehingga menunggu berjam-jam untuk bersalam dan bermaafan," katanya.

    Najib juga berharap semangat perpaduan dan silaturahim serta semangat cintakan Malaysia bukan sahaja menyerlah pada hari ini, tetapi pada setiap masa kerana ia merupakan sumber kekuatan dalam memacu Malaysia ke hadapan.

    Sementara itu, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor memuji pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas termasuk di sempadan negara dengan terpaksa berjauhan daripada keluarga pada sambutan hari mulia ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak bergaduh sesama sendiri, tetapi sebaliknya sentiasa bermaafan bagi mengeratkan hubungan antara saudara mara dan rakan-rakan.

    Marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan dan keamanan negara, katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kawalan Keselamatan Negara Terletak Di Tangan Rakyat - PM Najib "