• Jumpa mayat dengan kesan tetak, kelar

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    LELAKI dipercayai warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala dan kelar di leher dalam kejadian di kebun buah-buahan, di Paya Rumput, Melaka, hari ini.

    Mayat mangsa berusia 30-an itu ditemui kira-kira 11 pagi dalam keadaan tertiarap dibawah timbunan daun.

    Saksi kejadian yang juga pemandu kepada pemilik kebun berkenaan berusia 40-an berkata, dia yang tiba di kebun berkenaan untuk mengambil buah markisa hairan kerana panggilan tidak disambut oleh pekerja di situ.

    Katanya, dia ke kebun itu selepas diarahkan oleh majikan untuk mengambil buah dan dihantar ke kedai di Bukit Beruang.

    "Apabila tiada yang menyahut saya kemudian mengambil buah markisa seperti yang diarahkan oleh majikan sebelum terpandang sesuatu di bawah pokok.

    "Berasa hairan dengan objek yang dilihat saya kemudian mendekatinya sebelum kelihatan kaki manusia manakala bahagian badan pula ditutupi daun," katanya ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, dia kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan penemuan mayat lelaki warga asing berkenaan.

    "Setakat ini kita belum menemukan senjata ditempat kejadian bagaimanapun usaha sedang dilakukan dengan khidmat unit anjing pengesan (K9).

    "Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya.-HMetroOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jumpa mayat dengan kesan tetak, kelar "