• Jerman Sambut Ketibaan Dua Panda Dari China

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    BERLIN: Zoo Berlin bakal menerima dua ekor panda gergasi menjelang akhir bulan ini, susulan lawatan Canselor Angela Merkel ke China pada 2015.

    Dua panda, Meng Meng dan Jiao Qing bakal diterbangkan ke Berlin menaiki pesawat kargo khas milik Lufthansa pada 24 Jun ini, ditemani dua veterinar dari China, ketua veterinar Zoo Berlin dan beberapa tan buluh.

    Sepanjang perjalanan selama 12 jam 20 minit itu, kedua-dua panda itu akan ditempatkan di dalam sebuah kotak khas yang dilapisi tikar penyerap.

    Zoo Berlin dijangka membayar sebanyak AS$1 juta (RM4.26 juta) setahun kepada China sepanjang tempoh kontrak pinjaman selama 15 tahun.

    Bayaran itu sebahagian besarnya akan digunakan untuk membiayai program penyelidikan pembiakan dan perlindungan panda di habitat asalnya di China.

    Sementara itu, media di Jerman menjangkakan Meng Meng dan Jao Qing akan dipamerkan untuk tontonan orang ramai di Zoo Berlin pada 5 Julai.

    Ia bersempena lawatan Presiden Xi Jinping ke Jerman bagi menghadiri Persidangan G20 pada 7 hingga 8 Julai ini. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Jerman Sambut Ketibaan Dua Panda Dari China "