• Jerayawara Perangi Buli Akan Diadakan Di Sekolah

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan jerayawara dan kempen memerangi gejala buli di sekolah, yang akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

    Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya akan memasukkan kempen memerangi gejala buli itu dalam kempen kesedaran mengenai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dan jenayah seksual.

    “Kita juga nak memastikan bahawa segala tindakan diambil sebab kita hendak gejala membuli ini dihentikan. Bagi saya penalti yang sebenarnya adalah yang seberat-berat mungkin. Ini hendak menghindar, saya bukan saja-saja nak menghukum.

    “Saya nampak dalam masa sebulan dua ni (gejala buli) berleluasa pula. Adakah negara kita nak dicemari dengan banyak kes buli…kita adalah sebuah negara maju, ada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas melawat mendiang T. Nhaveen di Krematorium Batu Gantung, di sini hari ini.

    Nhaveen, 18, yang dibuli dan dipukul sehingga mengalami kecederaan parah oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas di Jalan Kaki Bukit, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 6 petang semalam.

    Rohani menyeru masyarakat untuk bersama memerangi gejala buli terutamanya membabitkan remaja dan pelajar sekolah.

    Beliau berkata institusi kekeluargaan perlu memainkan peranan dalam memupuk semangat kasih sayang dan saling menghormati antara sesama manusia sekali gus melahirkan generasi yang bertoleransi dan tidak agresif.

    “Bantu kami di kementerian sebab akhirnya nanti kita semua terkesan. Jangan biarkan ia terjadi kepada kita dan anggota keluarga. Keluarga itu sudah cukup menderita,” katanya.

    Dalam kejadian pada 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin menggunakan topi keledar.

    Previin yang turut cedera dan sedang dirawat di HPP bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

    Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

    Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jerayawara Perangi Buli Akan Diadakan Di Sekolah "