• Isu Buli, Dera Dibawa Ke Majlis Sosial Negara

    Published: Saturday, 17 June 2017
    A- A+

    ARAU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membawa isu buli dan penderaan melibatkan golongan remaja yang berlaku kebelakangan ini ke peringkat Majlis Sosial Negara dalam masa terdekat.

    Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang memandang serius isu itu apatah lagi ada melibatkan kematian berkata, perkara tersebut akan dibangkitkan seperti mana pihak kementeriannya membawa isu masalah dadah ke majlis itu sebelum ini.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sekiranya isu kes buli dan penderaan berkenaan berkait rapat dengan masalah dadah.

    “Kita bimbang kerana nampak kes buli dan dera ini meningkat sejak sebulan dua ini. Kalau kita tak bendung awal (cari penyelesaian), gejala ini mungkin akan menular.

    “Dalam hal ini, saya menekankan betapa pentingnya peranan institusi keluarga untuk kita terapkan nilai kasih sayang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Negaraku, Kasih Kita di Rumah Kanak-Kanak Arau di sini hari ini.

    Dalam program sama, Rohani turut mengumumkan Rumah Kanak-Kanak Arau kini ditukar nama kepada Abdul Latif Romly, iaitu atlet paralimpik negara yang berasal dari negeri ini, di atas sumbangannya memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Rio 2016. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Buli, Dera Dibawa Ke Majlis Sosial Negara "