• iCops Mantapkan Ops Selamat 11

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Bagi memantapkan keberkesanan Ops Selamat 11/2017, kamera Intelligent Compound Online Payment System (iCops) akan digunakan bagi mengesan kehadiran kenderaan yang dikehendaki dalam senarai 'hotlist'.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kamera ini dilengkapi dengan 'virtual loop' dan penataan infra merah bagi mengesan kenderaan dengan jelas.

    Menurutnya, alat ini amat efektif dan berjaya meningkatkan kutipan saman semasa Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) serta beberapa kes tangkapan nombor pendaftaran palsu, kenderaan klon dan cukai jalan palsu.

    "Ini adalah fokus kita sepanjang Ops Selamat kali ini terutama di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

    "Malah beberapa kawasan yang sering dilaporkan gagal mematuhi peraturan seperti memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya dalam Majlis Pelancaran Ops Selamat 11/2017 di Menara Telekom, dekat sini, hari ini.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dalam pada itu, Ops Selamat turut menekankan kepada aspek keselamatan harta benda dan rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti pulang ke kampung dengan mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang dimuat turun di Portal Rasmi PDRM.

    "Rondaan pencegahan jenayah oleh anggota balai dan kereta peronda MPV, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit di kawasan perumahan dan premis terus dipertingkatkan," katanya.

    Jelasnya, pada Ops Selamat Aidilfitri lalu, sebanyak 68,716 laporan balik kampung diterima berbanding tahun sebelumnya 66,544, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus.

    Selain itu, Ops Selamat 2016 mencatatkan peningkatan kemalangan sebanyak 254 kes atau 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut menurun sebanyak 30 kes dan jumlah kematian menurun 31 kes.

    Ops Selamat turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PLUS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). - SH

    Subjects:

  • No Comment to " iCops Mantapkan Ops Selamat 11 "