• Henti Fitnah Sesama Agama Dan Bangsa

    Published: Sunday, 25 June 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Sabah agar terus bersatu padu dan menghentikan fitnah sesama agama serta bangsa.

    Juhar berkata, rakyat harus bersyukur atas limpahan kesenangan, keharmonian dan keamanan yang dikecapi di negara ini.

    Berbanding di negara lain, katanya, rakyat negara ini bertuah kerana dapat merayakan Aidilfitri dengan sempurna dan selamat.

    "Di negara lain, ada yang terpaksa tinggal di kem pelarian yang daif, terdedah kepada kesejukan, tiada makanan dan ubatan.

    "Kita di Malaysia, ada tempat berteduh, makan dan minum lebih daripada mencukupi, ada saja bantuan dihulur kerajaan dan masyarakat yang prihatin terhadap nasib golongan daif dan mereka yang ditimpa malapetaka," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Juhar turut mengajak umat Islam untuk menyambut dengan mesra dan ikhlas kunjungan orang bukan Islam ke rumah terbuka mereka.

    Katanya, kesediaan berbaik dengan orang bukan Islam akan memperkukuhkan perpaduan antara kaum, sekali gus menjamin keharmonian penduduk.

    "Kita juga harus ingat pengorbanan pihak keselamatan kerana kesanggupan mereka menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan di sempadan terjamin.

    "Sikap cekap, dedikasi dan profesional mereka membolehkan kita merayakan Aidilfiti dengan selamat," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Henti Fitnah Sesama Agama Dan Bangsa "