• Hati-hati Jika Demam, Zika Muncul Lagi

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+


    SEGAMAT: Para doktor di seluruh negara diminta lebih peka ketika menjalankan pemeriksaan terhadap pesakit yang mengalami gejala demam kerana dikhuatiri mereka juga dijangkiti virus Zika.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata mereka perlu merujuk kepada institusi perubatan yang mempunyai kebolehan untuk membuat kajian terhadap virus yang dibawa nyamuk itu sekiranya terdapat pesakit yang mempunyai simptom penyakit berkenaan.

    “Zika buat masa ini hanya dikesan di Singapura, kita masih tidak ada apa-apa kes dilaporkan sehingga kini dan kita cuma saring demam sahaja, namun jika suhu tinggi kita akan periksa adakah tanda-tanda Zika.

    “Tetapi, seperti apa yang kita buat dahulu iaitu meningkatkan saringan di pintu masuk selain meminta masyarakat yang ada tanda-tanda demam, ruam, sakit mata dan otot agar berjumpa doktor,” katanya kepada pemberita pada majlis Jom Sihat sempena Ramadan di Masjid Makam Lubuk Batu di Gemereh di sini semalam.

    Turut hadir ketua bahagian Umno Segamat Zahari Sarip.

    Pada majlis itu, seramai 110 orang menerima bantuan wang tunai, hamper dan barang keperluan lain.

    Subramaniam, yang juga anggota parlimen Segamat, berkata semua doktor diingatkan agar mengambil sampel darah pesakit memandangkan hanya cara tersebut yang boleh mengesan virus terbabit.

    Sementara itu, beliau berkata saranan agar rakyat negara ini menangguhkan perjalanan ke Singapura tidak sesuai dikuatkuasakan memandangkan terdapat kira-kira 200,000 pekerja warganegara ini berkhidmat di negara republik itu.

    “Kita hanya cuma boleh menasihatkan masyarakat yang sering keluar masuk ke negara berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga. Pada masa sama, masyarakat diingatkan untuk bersama-sama kerajaan bagi meningkatkan kesedaran berkenaan penularan penyakit itu,” katanya.

    Jumaat lepas, Singapura mengesahkan dua kes baharu virus Zika menjadikan jumlah kes yang dilaporkan di negara itu kepada lapan kes setakat ini.

    - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Hati-hati Jika Demam, Zika Muncul Lagi "