• Guna Kontraktor Berdaftar Untuk Ubah Suai Rumah

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan pemilik rumah agar menggunakan khidmat kontraktor yang sah berdaftar dengan CIDB untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah.

    Ketua Eksekutif, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata peringatan itu bagi mengelak pemilik rumah daripada tertipu atau menanggung kerugian wang, kualiti binaan serta berdepan dengan risiko keselamatan apabila menggunakan perkhidmatan kontraktor yang tidak berdaftar dengan CIDB.

    "CIDB menerima aduan daripada pemilik rumah yang ditipu kontraktor tidak berdaftar apabila kontraktor berkenaan tidak menyediakan dokumen perjanjian.

    "Ini menyebabkan kerja pengubahsuaian dilakukan secara sambil lewa serta tidak mengikut tempoh waktu siap kerja yang dipersetujui walaupun wang pendahuluan telah dibayar pemilik rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Menurutnya, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerima 179 kes pertikaian membabitkan pengubahsuaian rumah dengan nilai tuntutan hampir RM2 juta diterima sepanjang tahun lalu.

    Jelasnya, hingga April lalu, biro berkenaan menerima 76 kes pertikaian di seluruh negara membabitkan lebih RM782,000 nilai tuntutan.

    Justeru, Ahmad Asri mengingatkan bahawa kontraktor berkenaan boleh didakwa dan apabila disabitkan kesalahan mereka akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 di bawah Akta 520. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Guna Kontraktor Berdaftar Untuk Ubah Suai Rumah "